Al-Maghribi

Pengasas Al-Maghribi : Tuan Guru Dr. H. Muhammad Nuri Al-Maghribi

Ustaz Dr. H. Muhammad Nuri al-Maghribi anak Indonesia, telah mendapat pendidikan awal dan menengah di  tanah kelahirannya.  Setelah tamat pengajian sekolah menengah, beliau mula mengajar di sekolah-sekolah pondok di Indonesia. Dalam masa yang sama beliau mengambil Diploma dalam bidang Computer dan Akaun di Kolej Ariyanti, Bandung.  Pada tahun 1996,  beliau bermusafir ke  Malaysia dan mengajar di kolej-kolej swasta dan surau dalam bidang Bahasa Arab, fardhu ain dan al-Qur’an. Dan dalam masa yang sama juga beliau mengambil Diploma dalam bidang Syari’ah di Institut Ibnu Sina (INTIS), Gombak, dan juga dalam bidang Business Management di  Binary College di Jalan Ipoh, KL.  Beberapa tahun kemudian, beliau melanjutkan ke Universiti al-Azhar, Mesir dan memperolehi Ijazah dalam bidang Syariah pada tahun 2002 dengan keputusan cemerlang, dan mendapat penghargaan daripada Kedutaan Indonesia dan beberapa organisasi Persatuan Pelajar Indonesia di Mesir.

Pada tahun 2003, beliau menyambung pengajian di Universiti al-Qurowiyyin, Moroco. Di universiti inilah, beliau memperolehi Master of Aqidah Falsafah serta turut menerima Anugerah Cemerlang daripada Universiti al-Qurowiyyin atas kejayaan beliau memperolehi markah tertinggi dan menamatkan pengajian Master dalam masa yang paling singkat. Tidak terhenti setakat itu, beliau melanjutkan pengajian PhD di Universiti Abdul Malik al-Sa’di,  Moroco  dan berjaya menggengam ijazah PhD dalam bidang Tasawuf pada tahun 2008.  Sekali lagi, beliau menerima Anugerah Cemerlang daripada Universiti Abdul Malik al-Sa’di  kerana memperolehi markah tertinggi dan menamatkan pengajian PhD dalam masa paling singkat.

Setelah tamat pengajian di Moroco, beliau kembali ke Malaysia dan diterima masuk di Universiti Malaya, Kuala Lumpur untuk menyambung pengajian  PhD yang kedua. Pada tahun 2015, beliau telah menamatkan pengajian PhD  dengan cemerlang dalam bidang Usul Fiqh. Ibarat bintang yang sentiasa bersinar terang,  Ustaz Dr. H. Muhammad Nuri al-Maghribi  bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi telah meraih banyak anugerah dalam bidang kokurikulum. Semasa zaman pengajiannya,  beliau merangkul pelbagai anugerah termasuk Johan Musabaqah Kefahaman al-Qur’an Peringkat Nasional, Johan Pidato Orator Gaya Sukarno, Johan Musabaqah Tilawah al-Qur’an Peringkat Mahasiswa Asia Tenggara, Johan Kuiz Cepat Tangkas Peringkat Mahasiswa Universiti Al-Azhar dan lain-lain.

Ustaz Dr. H. Muhammad Nuri al-Maghribi  menimba ilmu al-Qur’an daripada ramai masyaikh  tersohor antaranya: Syekh Dr. Bassam al-Hijazai al-Misri, Syekh Hamim al-Teba’i, Syekh Iwan Sagita al-Kagungi, Syekh Ali Shofi al-Misri, sehingga beliau menguasai 10 qiraat bersanad al-Qur’an, ilmu tilawah, tafsir dan tarannum dengan baik.  Penelitian yang mendalam, pengalaman yang luas dan pemikiran bahawa pembelajaran al-Qur’an tidak memerlukan masa yang lama mencetuskan idea kepada beliau untuk mengasaskan kaedah pembelajaran Al-Qur’an secara cepat dan efektif  iaitu kaedah Al-Maghribi. Kaedah Al-Maghribi menggabungkan kesemua aspek bermula daripada Ta’lim, Tahfiz, Tafhim dan Tahqiq dengan memberi tumpuan kepada penguasaan al-Qur’an dalam masa yang singkat sebagai penyelesaian kepada kemelut dan masalah pembelajaran al-Qur’an yang sering dihadapi oleh masyarakat.